Pendaftaran percuma SSM BizTrust dilanjutkan hingga Disember 2021

Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Advertisement

KUCHING, 20 Nov: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah melanjutkan tempoh pendaftaran secara percuma SSM BizTrust sehingga Disember 2021 dalam usaha mendokong pertumbuhan sektor perniagaan atas talian di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif itu seiring dengan perubahan trend urusniaga peruncitan yang kini banyak beralih kepada perniagaan atas talian.

“Ini juga jelas memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan, khususnya KPDNHEP untuk memudahkan urusan perniagaan di negara ini.

Advertisement

“Ia seterusnya boleh membantu kita memulih dan memperkasa ekonomi domestik, terutama menjelang fasa pasca Covid-19, termasuk meningkatkan kuasa beli dalam kalangan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, inisiatif itu turut mengambil kira perkembangan bidang teknologi dan perniagaan e-Dagang di negara ini, selain kesedaran masyarakat terhadap norma baharu kehidupan susulan penularan pandemik Covid-19.

“Peningkatan 35 peratus transaksi atas talian dan 53 peratus peningkatan pengguna transaksi atas talian memerlukan satu mekanisma dan undang-undang untuk melindungi pengguna yang menjalankan urusniaga itu.

“Justeru, KPDNHEP melalui SSM memperkenalkan SSM BizTrust sebagai simbol pengiktirafan dan piawaian kualiti entiti perniagaan yang dikawal selia oleh SSM, dengan syarat entiti terbabit mematuhi kriteria ditetapkan,” tambah Nanta.

Jelasnya, peniaga atas talian yang layak dan berjaya memperolehi pensijilan SSM BizTrust akan dapat memaparkan logo SSM BizTrust pada laman sesawang, media sosial dan blog perniagaan mereka.

“Pelanjutan tempoh pendaftaran percuma ini memperlihatkan komitmen kerajaan dalam membantu meningkatkan ekosistem perniagaan atas talian yang sihat dan beretika.

“Ini tentunya meyakinkan pengguna untuk melakukan urusniaga bersama entiti perniagaan terbabit, sekali gus membantu melindungi pengguna dari penipuan urusniaga atas talian mahupun secara fizikal,” katanya.

Sehingga 31 Oktober 2020, sebanyak 4,181 entiti perniagaan atas talian telah berdaftar dengan SSM BizTrust, dengan 629 daripadanya didaftarkan sepanjang tahun ini.

Bagaimanapun, Nanta berkata, jumlah itu masih kecil iaitu hanya 1.12 peratus daripada 373,213 peniaga atas talian yang direkodkan SSM.

“Ini belum termasuk peniaga atas talian yang bergerak secara bersendirian dan tidak memasarkan produk mereka di ‘platform market place popular’ di laman sosial.

“Justeru, kementerian menyeru agar lebih ramai peniaga atas talian memanfaatkan kemudahan ini dan bersama kerajaan membina semula ekonomi domestik negara demi masa depan yang lebih baik bersama,” katanya.

KPDNHEP melalui SSM juga akan terus melaksanakan kempen kesedaran agar pengguna yang berhasrat melakukan transaksi atas talian membuat semakan terlebih dahulu dan memastikan hanya berurusniaga dengan entity perniagaan yang diiktiraf dan memiliki logo BizTrust.

Pendaftaran SSM BizTrust boleh dibuat melalui portal https://biztrust.ssm.com.my yang beroperasi 24 jam sehari sepanjang tujuh hari seminggu. — DayakDaily

Advertisement