Penanaman padi secara komersial dalam Sarawak harus dikaji, kata PBDSB

Cobbold John Lusoi
Advertisement

KUCHING, Sept 19: Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) menyarankan agar Kementerian Pertanian dan kerajaan negeri Sarawak melaksanakan satu rangka kerja untuk membuat kajian penanaman padi secara komersial di Sarawak.

Dalam satu kenyataan media, presiden parti Cobbold John berkata ini adalah selari dengan hasrat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang meletak sasaran untuk Sarawak meningkatkan pengeluaran beras kepada 70 peratus menjelang tahun 2030, berbanding pengeluaran kini iaitu 53 peratus.

“Oleh itu, pihak PBDSB menyarankan agar pihak kerajaan Sarawak dan kementerian yang berkenaan dapat mewujudkan satu model transformasi penanaman padi secara komersial di Sarawak.

Advertisement

“Pekara ini secara tidak langsung akan membantu menaiktaraf ekonomi masyarakat setempat disamping menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Sarawak,” kata beliau.

Tambah Cobbold, kawasan Batang Rajang adalah amat sesuai dijadikan pusat penanaman padi komersial kalau mengambil kira keluasan kawasan hutan yang belum diteroka.

Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan kerajaan negeri untuk mengeluarkan geran pemilikan tanah atau ‘land title’ kepada pengusaha-pengusaha berkenaan untuk mengelakkan pekara yang berulang sepertimana yang terjadi dalam industri kelapa sawit.

“Harus diingat juga Ketua Menteri, bagilah surat geran tanah Seksyen 18. Kalau tidak, susahlah rakyat mengusahakan tanah NCR (native customary rights land). Jangan lupa tanah NCR tidak boleh dijual beli dan sila rujuk kembali kes Hilarian Bisi dimana “harga” tanah NCR hanya lah sama nilai dengan Tungkus Asi,” katanya.

“Geran tanah kepada masyarakat di bawah Seksyen 18 juga haruslah terbuka kepada semua jenis aktiviti dan bukannya terhad kepada pertanian sahaja. Bila seksyen ini terbuka untuk semua jenis aktiviti ekonomi dan tidak terhad kepada pertanian maka masyarakat tempatan pemilik tanah juga boleh membina industri kecil dan sederhana, membina institut latihan, membina Rumah Dayak, membina bangunan komersial seperti membina rumah kedai, membina homestay dan sebagainya di atas tanah berkenaan untuk menambah pendapatan dan mewujudkan pekerjaan kepada masyarakat setempat. Malah masyarakat boleh membuka stesen mengisi minyak petrol/diesel di tanah berkenaan,” tegas Cobbold.

Cobbold juga menyarankan agar lebih banyak interaksi dan latihan perindustrian diberikan kepada petani-petani dan pekebun-pekebun kecil terutamanya dari kalangan masyarakat Dayak yang secara amnya merupakan golongan penanam padi.

“Lebih banyak bantuan dan latihan sepatutnya disalurkan kepada pekebun-pekebun kecil seperti sumbangan jentera-jentera, benih padi berkualiti, racun serangga dan juga baja yang bersesuaian,” ujar Cobbold. — DayakDaily

Advertisement