Tukang masak ditemui mati dalam bilik hotel

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Sept 19: Seorang tukang masak ditemui mati dalam sebuah bilik hotel di pusat bandar raya ini hari ini.

Mangsa yang berusia 32 tahun dan berasal dari Dalat dijumpai mati oleh petugas hotel berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek berkata, mangsa lelaki Cina ditemui meninggal dunia dalam keadaan terlentang dalam keadaan tidak berpakaian di sebelah katilnya.


Katanya, sebelum itu, mangsa yang bekerja di Singapura telah mendaftar masuk ke hotel tersebut pada Sept 16 lepas.

“Mangsa dikatakan berada di Kuching untuk menghadiri majlis perkahwinan rakannya pada Sept 17 lalu di sebuah hotel berlainan di pusat bandar raya ini.

“Selepas hari itu, mangsa dikatakan tidak membalas beberapa kali panggilan sepupunya sehingga dia ditemui mati dalam bilik hotel tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ng menambah, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang kecederaan.

Katanya, mangsa disyaki sakit susulan penemuan beberapa ubat dijumpai di atas meja bilik mangsa.

“Pasukan forensik D10 JSJ IPK juga berada di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

“Hasil semakan sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hotel tersebut mendapati kali terakhir si mati masuk ke dalam bilik seorang diri pada Sept 17, kira-kira pukul 2.45 pagi.

“Selepas itu tiada lagi sebarang pergerakan keluar mangsa sehingga dia dijumpai meninggal dunia,” jelasnya.

Ujar Ng lagi, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tujuan bedah siasat.

“Buat masa ini, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. — DayakDaily