Penambahbaikan infrastruktur SK St George, Punau dipertimbangkan

Lawatan wakil Willie ke SK St George, Punau.

KUCHING, 9 Mac: Permohonan Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK St George Punau untuk membina tempat murid menunggu berbumbung mendapat perhatian Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap MP Puncak Borneo Datuk Willie Mongin.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), turut dipertimbangkan ialah menaiktaraf sistem perparitan dan padang sekolah.

Perkara itu telah dimaklumkan kepada beliau sejurus pegawai Pusat Khidmat yang mewakilinya membuat tinjauan ke sekolah berkenaan pada Selasa.


Difahamkan sekolah tersebut memerlukan tempat murid-murid menunggu berbumbung semasa balik dari sekolah untuk mengelakkan daripada terdedah dengan panas matahari dan juga hujan.

Manakala sistem perparitan juga perlu diperbaiki kerana seringkali tersumbat dan menjadi punca banjir kilat di kawasan sekolah apabila waktu hujan turun.

Begitu juga dengan menaiktaraf padang sekolah yang kini tidak dapat digunakan kerana becak kerana tiada sistem pembuangan air dibina.

Turut hadir ialah Pegawai Pembangunan Infrastruktur dan Projek Puncak Borneo Halix Kuyong, Guru Besar SK ST, George Punau Jawa Enggu, Pengerusi LPS Penghulu Rijen Meoi dan Pengerusi PIBG Phanuel Luput dan para guru. — DayakDaily