Penamatan perkhidmatan Tun Taib sebulan awal adalah bidang kuasa Agong – TPM Fadillah

Fadillah ketika ditemui di Kuching.

KUCHING, 27 Jan: Penamatan perkhidmatan Tun Abdul Taib Mahmud sebulan lebih awal sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

“Itu saya tak nak komen, memang sudah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Fadillah berkata demikian ketika ditemui di Majlis Perasmian Gelanggang Al-Qamar Marapati Pertubuhan Seni Silat Sendeng Sarawak (PSSSS) di sini, hari ini.


Tempoh perkhidmatan Tun Taib sebagai TYT Negeri Sarawak ketujuh akan tamat pada 28 Februari depan dan beliau telah memegang jawatan tersebut selama 10 tahun.

Semalam, bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai TYT Negeri Sarawak kelapan.

Wan Junaidi menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak di Balairung Kecil, Istana Negara.

Dalam pada itu, Fadillah yakin perlantikan Wan Junaidi ke jawatan tersebut adalah berdasarkan pengalaman beliau yang sudah lama sebagai ahli parlimen dan menteri.

Katanya, Wan Junaidi sudah begitu lama menyumbang bakti kepada negeri dan adalah aset penting kepada Sarawak.

“Latarbelakang sebagai anggota polis, kemudiannya menjadi peguam dan ahli parlimen serta banyak juga menulis buku.

“Akhir sekali menjadi timbalan speaker dan speaker Dewan Negara, bermakna pengalaman beliau sangat luas,” jelas Fadillah. — DayakDaily