Pemuda ugut bakar rumah dan cedera keluarganya diberkas polis

Royal Malaysia Police logo

MIRI, Julai 19: Gara-gara mengugut untuk membakar rumah keluarganya selepas naik ‘minyak’ setelah ditegur oleh bapanya kerana menjual tong gas memasak milik keluarganya, seorang pemuda telah ditahan polis, semalam.

Pemuda berusia 24 tahun tersebut diberkas di sebuah rumah di Kampug Tanjong Berlipat, Niah susulan laporan polis yang dibuat bapanya berhubung ugutan anaknya sebelum itu.

Jurucakap polis memberitahu, berdasarkan laporan yang diterima, bapa suspek yang berusia 64 tahun mendakwa anaknya yang berang dengan teguran kerana menjual tong gas memasak telah mengugut untuk membakar kediaman yang didiami mereka.


Malah kata jurucakap sama, kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu juga menyebabkan suspek bertindak mengugut untuk mencederakan ahli keluarganya.

“Bimbang keselamatan ahli keluarga serta kediaman dibakar, bapa kepada suspek kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Laporan itu juga dibuat kerana lelaki warga emas terbabit mendakwa sudah tidak tahan dengan karenah suspek yang panas baran,” katanya hari ini.

Jurucakap sama menambah, suspek kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau keduanya-duanya,” katanya lagi. — DayakDaily