KUCHING, Nov 18: Pemuda Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) mencadangkan untuk mengadakan forum terbuka berhubung dengan dasar-dasar kerajaan negeri Sarawak merangkumi isu-isu berkaitan kontroversi Tanah Adat Bansa Asal (NCR) dan juga Malaysia Agreement 1963 (MA63).
Menurut satu kenyataan yang dihantar kepada pihak media, Pemuda PBDSB mengambil keputusan untuk mengajak Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBCC) Sarawak mengadakan forum terbuka susulan sokongan Pengerusi BNBCC Paulus Palu Gumbang yang menyokong tindakan kerajaan BN menidakan usul Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba Kelalan Baru Bian berkaitan Seksyen 5 Kanun Tanah Negeri.
Dalam kenyataan media nya, Ketua Pemuda PBDSB Rapelson Richard Hamit mengatakan bahawa terlalu banyak isu yang membelenggu rakyat Sarawak dan adalah amat wajar pekara ini diheret ke pengetahuan umum.
“Selain isu NCR, kita nak ajak BNBCC berdebat isu MA63. Kita tak hendak hanya kenyataan media, kita nak lihat hasil. Rakyat dah pilih BN, maka BN perlu buat kerja, bukan “hot air” (cakap kosong),” kata Rapelson.
“Isu berkaitan perlantikan guru tempatan juga antara intipati yang harus diketengahkan dan juga masalah sekolah daif. BN harus bentang kertas kerja,” tegasnya.
“Selain itu, kami nak debat isu biasiswa. PTPTN tak relevan dan Yayasan Sarawak bagaikan tak wujud. Ini antara yang akan kita kemukakan.”
Beliau juga mengemukakan kesangsian terhadap Ordinan Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum 2004 dan mengajak Paulus mengemukan pendirian BNBCC.
“Ramai ketua kaum dilantik sebagai kounsilar. Ada yang menjawat jawatan dalam politik. Lihat saja di Sibu pihak SUPP dan UPP sama sekali mengingkari ordinan ini. Apa Paulus nak cakap? UPP Dan SUPP melantik tuai rumah, penghulu dan kounsilar menjawat jawatan dalam Unit Bumiputera yang ditubuhkan,” ulas Rapelson.
“Kami juga nak BNBCC menyatakan langkah BN Sarawak ke atas kenaikkan harga barangan yang disebabkan oleh GST. Kami juga nak tahu apa peranan kerajaan negeri membendung kenaikan harga petrol? Adala perlu diingat bahawa Sarawak adalah sebuah komponen dalam Malaysia,” tegasnya.
Pemuda PBDSB mengharapkan BNBCC menyahut cabaran forum terbuka ini dan memberi tempoh 14 hari kepada BNBCC untuk menjawab. — DayakDaily