Pemuda Pas Sarawak: Peruntukan pembangunan RM4.5 bln mampu beri impak positif pembangunan sosio ekonomi Sarawak

Syamsul Bahrie Mohamad

KUCHING, 8 Nov: Peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM 4.5 bilion untuk Sarawak dalam Belanjawan 2021 dilihat mampu merancakkan usaha menaiktaraf infrastruktur, air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan pendidikan di negeri itu.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Negeri Sarawak (DPPNS), Syamsul Bahrie Mohamad berkata usaha tersebut pastinya akan memberikan impak impak positif pada pembangunan sosio ekonomi setempat di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar dan pendalaman.

“Selain itu, DPPNS turut menyokong penuh perancangan kerajaan persekutuan untuk memperluas perkhidmatan bank bergerak di Sabah dan Sarawak.


“Ini selari dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Sarawak bagi memudahkan penduduk luar bandar yang sukar untuk mendapatkan akses perkhidmatan pembankan boleh mendapatkan perkhidmatan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Syamsul berkata, DPPNS turut memuji iltizam kerajaan dalam penerusan projek Lebuhraya Pan Borneo, pembangunan Kawasan Perindustrian Samalaju dan menyediakan peruntukan berjumlah RM41 juta Program pengukuran serta Pewartaan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sabah dan Sarawak.

“Tidak dilupakan juga terima kasih atas sokongan kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri Sarawak atas inisiatif bas awam yang menggunakan sel bahan api hidrogen yang setakat ini sudah ada di Kuching dan kami berbesar hati untuk melihat inisiatif sama dicetak ke bandar-bandar besar lain di Sarawak.

“Segala suntikan dan galakan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan ini dapat membantu kerajaan negeri Sarawak mendepani cabaran ekoran ketidaktentuan ekonomi pasca Covid-19 ini,” tambah beliau. — DayakDaily