Abang Johari: Sarawak tiada isu peruntukan RM4.5 bilion

Abang Johari (duduk tengah) pada sidang media di Ibu Pejabat PBB di Kuching hari ini (8 Nov 2020).

KUCHING, 8 Nov: Sarawak tiada isu dengan peruntukan RM4.5 bilion melalui Bajet 2021 bagi pembangunan infrastruktur.

Malah kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, ia adalah pertambahan sebanyak RM100 juta daripada bajet tahun lepas.

“Bagi saya ia adalah ‘okay’, lebih kurang juga dan ada tambahan RM100 juta.


“Sekurang-kurangnya kerajaan persekutuan memberi semula peruntukan bagi kita menyukat tanah hak adat Bumiputera (NCR) yang dibatalkan kerajaan terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai mempengerusikan mesyuarat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Ibu Pejabat parti di Jalan Bako hari ini.

Disamping itu, tambah Abang Johari, banyak lagi peruntukan lain di bawah beberapa kementerian termasuk kementerian pembangunan koperasi yang memperluaskan perbankan bergerak di kawasan-kawasan luar bandar Sarawak.

Katanya, ini merangkumi insentif-insentif yang diberikan kepada golongan rakyat khususnya B40 yang terjejas akibat Covid-19.

“Kalau diperhalusi, sebenarnya ia adalah melebihi RM4.5 bilion dengan mengambil kira peruntukan di bawah kementerian pembangunan koperasi, pendidikan, kebajikan dan kementerian perdagangan dalam negeri,” ujar beliau merangkap Presiden PBB.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri juga telah membelanjakan lebih RM10 bilion untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur di seluruh negeri. — DayakDaily