Pemuda nyaris maut, Toyota Hilux dipandu terbabas lalu terbalik

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa dari dalam sebuah Toyota Hilux.
Advertisement

Oleh Dean Adam

SARIKEI, Nov 22: Seorang pemuda nyaris maut selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan lalu terbalik di dalam sebuah parit di Jalan Bulat di sini malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu, lelaki yang berusia 21 tahun tersebut hanya mengalami kecederaan.

Advertisement

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Sarikei berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.16 malam.

Jelasnya, berdasarkan laporan diterima, terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux telah terbabas masuk ke dalam parit lalu terbalik.

“Sebaik tiba di tempat kemalangan, pasukan bomba mendapati pemandu kenderaan tersebut masih tersepit di dalam Toyota Hilux terbabit.

“Anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, pasukan bomba dari Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.56 malam,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement