Dua kereta terbakar cetus suasana gempar

Anggota bomba memadam kebakaran melibatkan dua buah kereta.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 22: Orang awam yang menetap di sekitar City Square di Jalan Sungai Apong di sini gempar dengan insiden dua buah kereta yang terbakar, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.02 pagi itu, dua buah kereta jenis Proton Waja dan Proton Saga FLX terbakar.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan, Patrick Mawong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.04 pagi.

Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kereta Proton Waja telah terbakar kira-kira 90 peratus, manakala Proton Saga FLX terbakar kira-kira 40 peratus.

“Semasa kebakaran berlaku kedua-dua pemilik kereta tersebut tidak berada di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Patrick memberitahu, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu juga masih dalam proses siasatan.

“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 1.43 pagi,” ujarnya. — DayakDaily