Pemuda maut dalam keadaan tragis, motosikal bertembung dengan lori

Lokasi kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan lori.

– oleh Dean Adam

LUNDU, Okt 9: Seorang pemuda menemui ajal dengan keadaan tragis apabila putus kaki kanannya dalam satu kemalangan di Kampung Temelan Dayak, Jalan Lundu-Sampadi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Mohammad Saffik Merjalis, 22, dari Kampung Pandan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Lebih memilukan, mangsa yang bekerja dengan Felda difahamkan telah merancang melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan maut tersebut melibatkan sebuah motosikal Yamaha LC135 dan lori jenis Mitsubishi Fuso.

Jelasnya, sebelum kejadian itu, mangsa yang menunggang sebuah motosikal dikatakan sedang dalam perjalanan ke Lundu dari pusat bandar raya Kuching.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kemalangan, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain, namun gagal lalu melanggar bahagian pemijak kaki sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

“Impak perlanggaran itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah termasuk putus kaki kanannya,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, pemandu lori yang berusia 34 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kejadian tersebut berlaku dalam keadaan hujan dan permukaan jalan adalah licin.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Lundu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya,” ujarnya lagi. ā€” DayakDaily