Pemuda disyaki mengamuk kerana ibu tidak restu menunggang motorsikal ke Bintulu

Suspek (tiga dari kiri) ditahan JSJ IPD Miri malam Ahad (15 Mei 2022) untuk tindakan lanjut.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 16 Mei: Bengang kerana ibu tidak benarkan menunggang motorsikal ke Bintulu, seorang pemuda disyaki bertindak merosakkan barangan di dalam rumah mangsa pada petang Ahad (15 Mei).

Dalam kejadian, suspek berusia 25 tahun itu disyaki turut cuba memukul ibunya selepas mangsa enggan memberikannya wang bagi tujuan ‘menanggung’ perjalanannya itu.

Advertisement

Mujur, si ibu pada waktu itu sempat melarikan diri dan tampil membuat laporan polis mengenai kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, suspek ditangkap anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dua jam selepas dimaklumkan kejadian.

“Tangkapan dilakukan sekitar jam 7.30 malam hari yang sama di kediaman mangsa di Bandar Baru Permyjaya,” katanya.

Suspek telah dibawa dan ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah telah dibuka untuk siasatan kes. — DayakDaily

Advertisement