Dua pemuda ditangkap, disyaki cuba rompak guru wanita di Serian

Kedua-dua suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

SERIAN, 16 Mei: Dua pemuda dicekup polis selepas disyaki cuba merompak rumah seorang guru wanita di Kampung Jawa Sungai Menaul, Jalan Esengei, di sini awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 1.30 pagi dan disedari oleh guru terbabit yang terjaga dari tidur selepas mendengar bunyi pagar pintu dapur dibuka.

Katanya, guru terbabit kemudian terus ke dapur dan mendapati pintu rumahnya terbuka dan terdapat seorang lelaki bertutup kepala dengan baju dan bersenjatakan sebilah pisau.


“Guru terbabit kemudian menjerit meminta tolong dan dia sempat menghampiri suspek serta menarik penutup kepala suspek sehingga tertanggal.

“Suspek kemudian melarikan diri bersama seorang lagi rakan subahatnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian segera membuat laporan polis berhubung kejadian dan bertindak atas maklumat yang diperolehi, polis berjaya menangkap kedua-dua suspek pada jam 5.30 petang.

“Kedua-dua suspek berusia 22 serta 23 tahun dan mereka ditangkap di sebuah rumah Kampung Menaul Serian.

“Polis turut merampas senjata dan pakaian yang digunakan oleh kedua-dua suspek,” katanya.

Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan rompak.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.

“Sementara itu, saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu,” kata Aswandy. — DayakDaily