Pemuda disyaki larikan motorsikal milik majikannya ditahan polis

Suspek ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 23 Jan: Seorang lelaki warga tempatan yang disyaki melarikan motorsikal milik majikannya ditahan pihak polis lewat tengahari tadi.

Lelaki tersebut ditahan di sebuah rumah di Kampung Batu 1 Jalan Lutong-Kuala Baram sekitar jam 3 petang oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri susulan laporan daripada pengadu.

Difahamkan, suspek berusia 27 tahun itu merupak pekerja di kebun kelapa sawit milik pengadu di Bekenu.

Walau bagaimanapun, suspek didapati tiba-tiba “menghilangkan diri” bersama sebuah motorsikal milik majikannya.

Kejadian disedari pengadi pada Jumaat (21 Jan) lalu sekitar jam 7 pagi apabila suspek didapati telah tiada di pondok kebunnya.

Turut hilang sebuah motorsikal milik pengadu.

Anggaran kerugian sekitar RM1,500.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan penahanan suspek.

Suspek telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Hasil siasatan awal mendapati, suspek turut mempunyai dua rekod jenayah termasuk satu kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah. — DayakDaily