Pemimpin PKR Cabang Sri Aman dan Ketua Srikandi umum letak jawatan dan keluar parti

Dari kiri- Patricia, Yen dan Lawrence mengumumkan perletakan jawatan di dalam PKR Sri Aman sekaligus keluar parti.

KUCHING, 19 MEI: Pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Sri Aman hari ini mengumumkan perletakan jawatan masing-masing dan keluar parti.

Perletakan jawatan itu diketuai oleh Ketua Cabang Yen Jebeni bersama Ketua Wanita Patricia Limau Pantau, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lawrence Temba serta beberapa ahli jawatankuasa cabang yang lain.

“Kami telah mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan yang kami sandang dalam Parti Keadilan Rakyat kerana berasa sangat kecewa dengan pucuk pimpinan parti.


“Pucuk pimpinan PKR gagal menyelesaikan pergolakan dalaman parti yang telah sekian lama berlaku sehingga menyebabkan kepincangan dan perpecahan seperti yang sedang berlaku sekarang,’kata Yen menerusi kenyataan hari ini.

Menurut beliau lagi, sebilangan besar penyokong kepada bekas calon PKR pada PRU14 lepas merangkap Naib Ketua Cabang Sri Aman Norina Umoi akan turut mengikut langkah beliau untuk keluar daripada parti.

“Pada masa yang sama, saya juga sempat berhubung dengan protem-protem Ranting PKR Sri Aman yang mana kebanyakan ahli meluahkan rasa kecewa setelah mendapat tahu Majlis Pimpinan Negeri yang kini tidak lagi diketuai ADUN Ba Kelalan Baru Bian yang selama ini menjadi harapan rakyat memperjuangkan tanah NCR,” ujar Yen.

Dalam pada itu, Ketua Srikandi PKR Sarawak Sylvia Pawa Anggat turut mengumumkan perletakan jawatan beliau sekaligus keluar dari PKR.

Menerusi kenyataan hari ini, Sylvia berkata keputusan tersebut amat sukar dibuat setelah 10 tahun berjuang bersama PKR Sarawak.

Katanya, halatuju PKR sekarang sudah tidak menentu dan sukar untuk terus bergerak ke hadapan tanpa pemimpin-pemimpin yang berkaliber seperti Baru, See Chee How (ADUN Batu Lintang) dan Ali Biju (ADUN Krian) yang telah meninggalkan parti. —DayakDaily.

Sylvia Pawa AnggatÂ