Cerita di sebalik baju Raya ‘PKP stail baru’ yang viral

Gambar Hamzah Alek, 35, memakai baju raya baharunya yang tersalah jahit poketnya dan viral di media sosial.

KUCHING, 19 Mei: Seorang pekerja ladang sawit di Lundu tidak menjangka gambarnya memakai baju raya baharu yang tersalah jahit poketnya disiarkannya di media sosial semalam kini sedang viral.

Hamzah Alek, 35, dari Kampung Belungei, Lundu berkata baju raya berwarna merah jambu dijahit ibunya, seorang tukang jahit yang sudah biasa menerima tempahan membuat baju raya setiap tahun.

“Baju raya baharu saya telah siap pagi semalam. Ibu saya juga terkejut apabila saya memberitahunya yang poket baju terbabit dijahit terbalik pada bahagian belakang,” katanya kepada DayakDaily, hari ini.

Hamzah kemudian menyiarkan gambar baju tersebut di Facebook dan menggelarkan dirinya “model baru raya PKP stail baru” tidak menjangka gambar terbabit akan viral dengan pantas.

Biasanya, ibunya yang telah menjahit sejak sebelum Hamzah dilahirkan, akan membuat pakaian raya untuk keluarganya setiap tahun.

“Kemungkinan faktor usia dan juga kerana berpuasa ibu saya tersalah jahit baju raya itu. Walaupun tersalah jahit dan kelihatan melucukan, saya semestinya akan memakai baju raya yang viral itu ketika Hari Raya nanti dan menjadi kenangan kami,” kata Hamzah.

Beliau berkata tahun ini keluarga hanya akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung sahaja selama sehari kerana mematuhi Perintah Kawal Pergerakkan Bersyarat (PKPB). —DayakDaily