Pemimpin kerajaan dan ketua masyarakat jambatan penghubung kepada penduduk, kata Jugah

Jugah (kanan) menerima cenderamata dari Tr Ngilah.
Advertisement

KUCHING, April 16: Peranan pemimpin kerajaan persekutuan serta kerjasama dan sokongan ketua masyarakat adalah jambatan penghubung kepada penduduk, kata Ahli Parlimen (MP) Lubok Antu Jugah Muyang.

Tegas beliau, kerjasama yang diberikan pada kerajaan sangat penting agar segala program pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Ketua Masyarakat akan menjadi mata dan telinga kerajaan serta menghebahkan maklumat mengenai dasar kerajaan kepada masyarakat kampung hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Rumah Ngilah Bara, Lubok Antu pada Ahad lepas.

Dalam ucapan tersebut, Jugah mengharapkan semua ketua masyarakat akan terus memberikan sokongan penuh kepada kerajaan demi merealisasikan agenda dan dasar pembangunan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, infrastruktur asas seperti jalan kampung dan lampu semuanya disediakan oleh kerajaan persekutuan.

“Malah 75 peratus elaun tuai rumah juga dibayar oleh kerajaan persekutuan,” tambah Jugah.

Mengulas mengenai MPKK, beliau berkata majlis tersebut bukan hanya berperanan sebagai duta keharmonian dan keselamatan, namun mampu membudayakan inovasi demi pembangunan kampung.

Katanya inovasi dijelmakan dalam pelbagai bentuk, contoh dari segi sumber baharu kampung dan penyelesaian kepada masalah-masalah kampung.

“Kita harap MPKK di Rumah Ngilah Bara, dapat bersama-sama membantu dan menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Kita juga sentiasa mengalu-alukan idea baru bagi mengukuhkan pentadbiran kerajaan memandangkan MPKK adalah pihak yang paling dekat dengan masyarakat,” katanya.

Jugah berucap di hadapan lebih 250 orang penduduk dari 12 rumah panjang di sekitar Rumah Ngilah, Bara.

Di majlis yang sama, Jugah berkata angin perubahan di Lubok Antu sudah semakin terasa.

Permasalahan penduduk menurut beliau gagal diselesaikan selama ini dan mereka mendapatkan bantuan kerajaan persekutuan yang terbukti prihatin dengan nasib rakyat.

Sempena majlis perasmian tersebut, Jugah turut menyumbangkan geran sebanyak RM500,000 kepada 12 buah rumah panjang berdekatan.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Lubok Antu Jim Andrew Janggi, Pegawai Bomba Kuching Gemong Batu, kaunselor-kaunselor, tuai-tuai rumah dan lebih 250 penduduk dari 12 buah rumah panjang dari kawasan sekitar Rumah Ngilah Bara, Lubok Antu. — DayakDaily

Advertisement