Pemimpin GPS mengadap Agong secara maya hari ini, berhubung tempoh DUN dan PRN12

A file photo of the Sarawak State Legislative Assembly building.

KUCHING, 25 Mei: Pemimpin-pemimpin Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengadap secara maya Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pada hari ini mengenai tempoh DUN Sarawak dan Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12).

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri hari ini, Abang Johari pada sesi itu telah menyembah maklum kepada Ke Bawah Duli Tuanku mengenai tempoh tamat Dewan Undangan Negeri(DUN) Sarawak sehingga 6 Jun 2021.

Mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak DUN haruslah dibubar dan Pilihanraya perlu diadakan.


Ekoran Pengisytiharan Darurat pada 11 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021 kuasa untuk membubarkan DUN Sarawak terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak mengikut Perkara 13 dan Perkara 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Sejajar dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Abang Johari pada sesi itu telah menyerahkan keputusan untuk membubarkan DUN Sarawak pada tarikh yang sesuai.

Ia adalah di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bersama TYT Negeri Sarawak setelah menerima nasihat daripada pihak Peguam Negara, SPR, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Di Raja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

Dalam pada itu, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda telah menasihati memandang kepada keadaan Covid-19 yang agak membimbangkan agar Kerajaan Negeri berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Sesi tersebut disertai Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah(Timbalan Presiden PBB), Tan Sri James Jemut Masing (Presiden PRS) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan (Timbalan Presiden PBB).

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Professor Dr Sim Kui Hian (Pengerusi SUPP) dan Duta Khas Perdana Menteri Malaysia ke China Dato Sri Tiong King Sing(Presiden PDP). — DayakDaily