KUCHING, Mac 31: Pusat Warisan Bung Bratak yang bernilai RM8 juta dan terletak 1,000 kaki di atas bukit Bung Bratak berdekatan Kampung Tembawang Sauh di Bau akan dirasmikan pembukaannya esok (April 1).
Pengerusi Persatuan Warisan Bung Bratak Dato Peter Minos berkata pusat tersebut akan dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Parlimen Mas Gading Dato Anthony Nogeh Gumbek pada jam 11 pagi.
“Pembinaan Pusat Warisan Bung Bratak dengan peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM8 juta itu telah dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak. Pusat ini mempunyai dua rumah panjang Bidayuh yang lengkap dengan satu baruk, dewan makan dan dapur serta dewan menyambut tetamu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Peter berkata pengunjung boleh sampai ke pusat itu setelah mendaki bukit Bung Bratak selama 30 minit dan antara tarikan lain di puncak bukit terbabit ialah adanya mata air yang menjadi sumber air kepada penempatan bersejarah kaum Bidayuh yang berusia 750 tahun itu.
Bukit Bung Bratak di Kampung Tembawang Sauh di Jalan Bau-Lundu adalah penempatan asal kaum Bidayuh yang berhijrah ke negeri ini suatu masa dahulu dari Gunung Sungkong, Kalimantan, Indonesia.
Mereka dari pecahan kaum Bidayuh suku Jagoi-Bratak dan mengikut sejarah telah berhijrah dari Gunung Sungkong ke Bung Bratak serta membina penempatan besar merangkumi tujuh rumah panjang di bukit terbabit.
Kawasan berbukit-bukau sekitar Bung Bratak amat subur untuk kegiatan pertanian dengan tujuh bangunan berbentuk bulat digelar “baruk” dibina atas bukit itu untuk menyimpan hasil padi mereka.
Kecuraman bukit terbabit juga memberikan perlindungan daripada serangan musuh apabila pada pagi Mei 1, 1837, musuh dari Skrang menyerang penempatan itu dan membunuh sekitar 2,000 penghuninya serta menawan 1,000 penghuni terutama wanita, lalu merampas bekalan padi mereka.
Penempatan terbabit dipertahankan ketua suku kaum Jagoi-Bratak bergelar Panglima Kulow dan pengikutnya yang terselamat dari serangan awal tersebut meminta bantuan pelbagai pihak termasuk Rajah James Brooke bagi membebaskan suku kaum mereka yang ditawan.
Panglima Kulow bersama Rajah Brooke dan ketua kaum lain kemudian ke Skrang untuk bertemu dengan musuh mereka yang kemudian bersetuju membebaskan tawanan terbabit serta pahlawan Bidayuh. Beliau kemudian membina semula penempatan Bung Bratak yang dimusnahkan. — DayakDaily