Kanak-kanak lelaki cemas terkunci dalam kereta

Kanak-kanak lelaki diserahkan kepada ibunya.

KUCHING, Mac 31: Seorang kanak-kanak lelaki cemas apabila terkunci di dalam sebuah kereta di Jalan Song berdepan One Jaya Mall di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.54 petang itu, kanak-kanak berusia dalam lingkungan tiga tahun terkunci selepas dikatakan berada seorang diri di dalam kereta tersebut.

Komander Operasi, PBK II Ahmad So’ot berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada pukul 4.55 petang.


Jelas beliau, selepas menerima laporan itu, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi untuk melakukan tindakan lanjut.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kanak-kanak lelaki itu masih terkunci di dalam kereta berkenaan.

“Pihak bomba terus bertindak membuat penyelamatan dan berjaya membuka pintu belakang bahagian kiri kereta itu.

“Kanak-kanak lelaki tersebut kemudian selamat dikeluarkan tanpa sebarang kecederaan sebelum diserahkan kepada ibunya,” katanya.

Sambil menambah, operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 5.05 petang. — DayakDaily