Pembonceng maut selepas motosikal bertembung dengan kereta

Pembonceng motosikal maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya bersama satu yang lain bertembung dengan sebuah Perodua Alza.

LAWAS, 20 Jan: Seorang pembonceng motosikal maut selepas motosikal yang ditunggangnya bersama satu yang lain terlibat dalam kemalangan dekat Simpang Banting, di sini.

Jurucakap Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu sekitar jam 7.58 pagi memaklumkan terdapat mangsa tersepit selepas terlibat dengan kemalangan.

Katanya, dalam kejadian terbabit motosikal yang dibonceng mangsa bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan.


“Akibat dari kejadian itu, mangsa yang mengalami kecedaraan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan anggota petugas EMRS bertindak menstabilkan mangsa sebelum ketibaan ambulans pihak hospital.

Katanya, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan selanjutnya dan punca kejadian masih dalam siasatan. — DayakDaily