Pembinaan Kompleks UNIFOR berjalan lancar – Penguang

Penguang (tiga kiri) menyampaikan cek bantuan kepada Guru Besar SK St Francis Xavier Serantau Lea Bancheng.
Advertisement

KUCHING, 15 Feb: Pembinaan Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bernilai RM70 juta di Jalan Ong Tiang Swee sedang berjalan lancar.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil berkata, kompleks tersebut dijangka siap pada penghujung 2024.

“Mengikut jadual kontrak, pembinaan Kompleks UNIFOR memakan masa 2 tahun.

Advertisement

“Projek kini berjalan lancar dan dijangka siap pada penghujung tahun hadapan,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Terdahulu Penguang telah menyempurnakan majlis penyampaian cek bantuan UNIFOR dengan jumlah keseluruhan RM3.7 juta kepada 32 Sekolah Mubaligh (Roman Catholic) Zon Selatan Sarawak bagi tahun 2022.

Kerja-kerja penyediaan untuk pembinaan bangunan (Kompleks UNIFOR) setinggi 10 tingkat di atas tapak seluas 1.2 hektar itu dimulakan pada Oktober tahun 2021.

Ia dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. — DayakDaily

Advertisement