UNIFOR serah cek bantuan RM3.7 juta kepada 32 sekolah mubaligh

Penguang (duduk tengah) merakamkan kenangan bersama penerima-penerima bantuan UNIFOR.

KUCHING, 15 Feb: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) hari ini menyampaikan cek bantuan dengan jumlah keseluruhan RM3.7 juta kepada 32 Sekolah Mubaligh (Roman Catholic) Zon Selatan Sarawak bagi tahun 2022.

Penyerahan cek tersebut telah disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil.

Menurut Penguang, bantuan tersebut melibatkan 21 sekolah di Bahagian Kuching dan 11 sekolah di Bahagian Serian.


Katanya, ia bakal memberi manfaat kepada 8,734 pelajar di sekolah terbabit.

“Bantuan ini adalah usaha kerajaan Sarawak untuk membantu sekolah mubaligh di seluruh Sarawak.

“Ia boleh digunakan untuk menaiktaraf bangunan sekolah, penyediaan kemudahan dan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti,” katanya pada sidang media selesai majlis penyampaian yang diadakan di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Tambah Penguang, peruntukan bagi tujuan tersebut telah meningkat kepada RM20 juta bagi tahun 2023 jika dibandingkan RM15 juta pada tahun sebelumnya.

Hadir sama Pengarah UNIFOR Jack Aman Luat. ā€” DayakDaily