Pembinaan klinik kesihatan baharu di Batang Lupar dilaksanakan secara berperingkat

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
Advertisement

KUCHING, 16 Okt: Cadangan pembinaan klinik kesihatan baharu di kawasan Batang Lupar akan dilaksanakan secara berperingkat, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut laporan TVS, Dr Dzulkefly berkata, pelaksanaannya mengambil kira pelbagai faktor termasuklah ketersediaan tapak dan kesediaan peruntukan pembangunan.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sememangnya mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk menggantikan klinik-klinik lama terutama yang dibina daripada kayu termasuk klinik kesihatan Lingga dan Maludam.

Advertisement

“KKM sentiasa berusaha untuk memastikan penyampaian kesihatan yang berkualiti diberikan dan kerja-kerja naik taraf dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi fasiliti kesihatan di Parlimen Batang Lupar,” katanya menerusi jawapan lisan yang dipaparkan di laman web rasmi Parlimen Malaysia.

Selain itu katanya, klinik kesihatan di Tanjung Bijat Bahagian Sri Aman telah menerima peruntukan khas klinik daif daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bagi pembinaan blok baharu yang kini berada dalam peringkat reka bentuk dan dijangka siap pada tahun 2027.

Dalam perkembangan sama katanya, terdapat tiga klinik kesihatan di sekitar kawasan Maludam dan Beladin yang menyediakan perkhidmatan ambulans iaitu di Pusa (tiga unit ambulans), Maludam (satu unit ambulans) dan Beladin (satu unit ambulans).

“Klinik Kesihatan Beladin akan menerima satu unit ambulans baru yang dijangka diagihkan pada pertengahan tahun 2025,” ujarnya.

Perkhidmatan ambulans tersebut jelas beliau akan mampu memenuhi keperluan perkhidmatan kecemasan di sekitar kawasan berkenaan. — DayakDaily

Advertisement