KUCHING, Jun 6: Projek pembinaan jambatan dan jalan menghubungkan Bako di Demak Laut dengan Buntal di Santubong dengan peruntukkan sebanyak RM85 juta dari kerajaan Sarawak kini sedang dirancang dan kemungkinan akan bermula tahun hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni berkata demikian berikutan projek jambatan dan jalan terbabit yang sepanjang 8.5 kilometer tidak ada menghadapi sebarang masalah dalam peringkat perancangan dan membuat reka bentuknya ketika ini.
“Kemungkinan projek akan mula kerja pembinaanya tahun hadapan dan akan membuka keseluruhan kawasan sekitarnya. Ketika ini projek ini sedang dalam fasa membuat pelan reka bentuknya yang dilakukan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan belum lagi dilantik kontraktornya,” katanya ketika mengadakan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kesuma Resort, Jalan Stadium, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Dr Hazland berkata setakat ini tiada penduduk kawasan Bako yang membantah projek itu malahan mereka mengalukannya dengan hati terbuka kerana projek itu akan menghubungkan kawasan terbabit dengan Jalan Pesisir Pantai.
Tambahnya, projek itu juga tidak akan memerlukan pemindahan penduduk Bako dari rumah kediaman mereka kerana projek hanya akan melalui sebahagian besar kawasan hutan yang pemiliknya akan diberikan pampasan tanah.
“Saya sehubungan itu berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana meluluskan projek ini,” katanya, sambil menambah Ketua Menteri telah mengumumkan projek tersebut dan peruntukan ketika merasmikan pembukaan Jambatan Bako pada Febuari lepas.
Beliau berkata dengan siapnya projek itu, kemungkinan kawasan Bako yang indah pemandangannya akan dibuka dengan skim perumahan baru, sektor pelancongan baru dan pelbagai kegiatan ekonomi yang meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduknya. — DayakDaily