Wanita OKU dikhuatiri hilang selepas keluar rumah

Operasi SAR dilakukan bagi mengesan seorang wanita OKU yang dilaporkan hilang.

Oleh Dean Adam

SIBU, Jun 6: Seorang wanita yang dipercayai orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang hari ini selepas keluar dari kediamannya di Ruang Nuang di Jalan Durin sejak semalam.

Mangsa, Oliviana Gindi, 24, dikatakan hilang apabila tidak pulang ke rumah selepas kelihatan keluar kira-kira pukul 7 pagi semalam.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihak bomba hanya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pihak polis pada pukul 8.29 pagi tadi.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa dipercayai keluar rumah melalui pintu belakang rumah.

“Usaha mencari mangsa telah dilakukan oleh ahli keluarga, namun wanita itu masih gagal ditemui dan laporan polis telah dibuat oleh bapa mangsa pada pagi tadi.

“Sepasukan lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu telah digerakkan ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, operasi SAR telah dilakukan dalam radius pencarian 2 kilometer dari lokasi mangsa dikhuatiri hilang.

Katanya, operasi SAR itu turut dibantu oleh pihak polis, APM, ahli keluarga dan penduduk kampung.

“Pasukan SAR telah dibahagikan kepada enam kumpulan dan turut dibantu oleh Unit K9 polis.

“Setakat pukul 3 petang tadi mangsa masih belum ditemui,” katanya. — DayakDaily