Pembinaan Jalan Sebuyau-Lingga bermula awal 2021


Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Nov: Projek pembinaan Jalan Sebuyau ke Lingga sejauh 33 km akan bermula awal tahun hadapan, kata Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi.

Katanya, projek diluluskan untuk dilaksanakan di bawah program pembangunan Jalan Utama Kedua yang merupakan salah satu jalan
penghubung luar bandar dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.


“Saya faham bahawa Jalan Sebuyau ke Linga ini amat ditunggu-tunggu oleh penduduk di kawasan Lingga.

“Sesungguhnya ia memendekkan masa perjalanan dan jarak fizikal sekiranya hendak ke Kota Samarahan, seterusnya ke Bandaraya
Kuching,’ katanya ketika menjawab soalan ADUN Lingga Simoi Peri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri(DUN) hari ini.

Tambah Julaihi, projek melibatkan pembinaan jalan sehala 2 lorong jenis R5 JKR Standard dan sebuah jambatan menyeberangi Sungai Lingga sejauh 650 meter.

“Sebuah jambatan kecil juga akan dibina menyeberangi Sungai Linggi untuk menghubungkan jalan tersebut ke Pekan Lingga,” katanya yang juga ADUN Sebuyau.

Siap kelak, Julaihi percaya jalan tersebut akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosio ekonomi penduduk di kawasan luar bandar
khususnya di Lingga.

“Saya juga yakin bahawa Sebuyau yang merupakan salah satu pekan di kawasan pesisir pantai akan mendapat manfaat daripada pembinaan
jalanraya ini,’ujar Julaihi. – DayakDaily