Pemberian kemudahan pinjaman mudah antara cadangan untuk menstabilkan harga ayam

Nanta(dua dari kiri) pada perbincangan bersama pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan semalam.

KUCHING, 22 Sept: Pemberian kemudahan pinjaman mudah bagi membantu pihak industri mengekalkan jumlah pengeluaran ayam yang mencukupi antara cadangan kerajaan untuk menstabilkan harga ayam.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataan bersama berkata, ia juga bagi menangani isu peningkatan kos pengeluaran ayam berikutan kenaikan harga komponen makanan ayam yang diimport.

“Kerajaan turut mempertimbangkan kawalan harga di semua peringkat disokong dengan pemberian subsidi kepada rantaian tertentu sebagai salah satu usaha menangani isu kenaikan harga ayam ini.


“Selain cadangan untuk melaksanakan sistem permohonan permit (AP) bagi penjualan ayam, sekiranya usaha Kerajaan untuk menangani isu harga ayam ini tidak mendapat kerjasama daripada peniaga di semua peringkat,” katanya.

Kedua-dua kementerian memantau rapi isu kenaikan harga ayam standard yang berlaku sejak awal September 2021 yang lalu sehingga harga di peringkat runcit melebihi RM10 sekilogram di beberapa kawasan di seluruh negara.

Berdasarkan data oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) KPDNHEP, pada 13 September 2021, sebanyak 98 premis runcit (14.58 peratus) yang diperiksa telah menjual ayam standard pada harga melebihi RM10 sekilogram.

Berikutan itu, KPDNHEP telah melaksanakan pendekatan baharu dengan mengadakan sesi libat urus secara terus dengan peniaga di lokaliti yang mengalami kenaikan harga ayam.

“Usaha ini telah membuahkan hasil apabila data menunjukkan trend penurunan harga ayam berbanding pada awal September yang lalu.

“Trend ini dijangka akan terus menunjukkan penurunan sekaligus dapat menstabilkan harga ayam di pasaran.

“Setakat 20 September 2021, hanya 10 premis (1.74 peratus) masih menjual ayam pada harga melebihi RM10 sekilogram,” katanya.

Walaupun harga ayam ketika ini kembali terkawal hasil pendekatan ini, KPDNHEP dan MAFI bersetuju usaha untuk menstabilkan harga ayam ini secara sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan diteruskan supaya isu harga ayam dapat di atasi secara holistik.

Semalam kedua-dua kementerian telah mengadakan perbincangan bagi menangani isu tersebut yang dihadiri Dato Sri Alexander Nanta Linggi (KPDNHEP) dan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (MAFI). — DayakDaily