Pembekuan kemasukan pekerja Indonesia, Sarawak tiada masalah – Abang Johari

Abang Johari (tengah) pada sidang media di Gedong.

Oleh Chris Bishop

GEDONG, 16 Julai: Keputusan Indonesia membekukan sementara kemasukan pekerja warganegaranya ke Malaysia tidak memberi impak besar terhadap Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia hanya melibatkan pembantu rumah Indonesia.


Katanya, keputusan itu tidak menimbulkan sebarang masalah di bidang-bidang lain di negeri ini.

“Rasa saya mungkin terjejas, ia adalah dasar kerajaan Indonesia. Tetapi saya difahamkan oleh konsul Jeneral bahawa Sarawak tiada masalah.

“Tetapi oleh kerana ia dasar kebangsaan, kita terjejaslah.

“Dari sudut masalah (bakal timbul), kita tiada masalah, ia cuma melibatkan pembantu rumah,” katanya di sidang media di Gedong hari ini.

Terdahulu Abang Johari merasmikan Majlis Sambutan Peringatan Hari Anti Dadah Kebangsaan dan Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia 2022 di Dewan Patinggi Ali.

Kerajaan Indonesia baru-baru ini menghentikan kemasukan pekerja dari negara itu termasuk Pekhidmat Domestik Indonesia ke Malaysia untuk sementara waktu.

Indonesia dilapor mengenakan pembekuan sementara ke atas semua pekerja warganya memasuki Malaysia berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan Sistem Dalam Talian Pembantu Rumah (MOS) untuk memudahkan pengambilan pembantu rumah Indonesia.

Perkara itu disahkan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono bahawa keputusan itu dibuat selepas sesi perundingan maya yang dihadirinya bersama pegawai Kementerian Luar dan Kementerian Tenaga Kerja negara itu.

Ia dikatakan selepas keengganan Malaysia mematuhi memorandum persefahaman (MoU) pembantu rumah negara itu yang ditandatangani 1 April lalu dengan menyifatkannya sebagai ‘tidak menghormati’ Presiden Indonesia, Joko Widodo. — DayakDaily