Pembayaran Fasa 3 Bantuan Khas Covid-19 Isnin ini

Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 18 Dis: Pembayaran Fasa 3 Bantuan Khas Covid-19 (BKC) sebanyak RM300 akan dibuat pada Isnin, 20 Disember ini.

Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori Miskin dan B40.

“Dengan pembayaran ini, lengkaplah nilai bantuan di bawah BKC berjumlah RM4.6 bilion.


“Ini adalah komitmen Kerajaan dalam memastikan pembayaran BKC ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Kerajaan sentiasa komited memastikan bantuan yang disediakan ini menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia,” kata Ismail Sabri.

Pembayaran Fasa 1 dan Fasa 2 BKC telah diselesaikan pada bulan September dan November yang lalu dengan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion untuk hampir 10 juta penerima.

Bagi penerima yang mempunyai akaun bank, bayaran akan terus dikreditkan ke dalam akaun pada Isnin ini.

Manakala yang tiada akaun bank, bayaran dibuat melalui cawangan Bank Simpanan Nasional bermula Isnin ini. — DayakDaily