Pembantu jual bunga maut, motosikal dinaiki dilanggar kereta

Keadaan depan kereta yang remuk selepas melanggar motosikal dinaiki mangsa.

KUCHING, Jan 7: Seorang pembantu jual bunga maut selepas lebih empat jam bertarung nyawa setelah terbabit dalam kejadian kemalangan melibatkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Nanas di sini awal pagi tadi.

Mangsa, Eylinna Ello, 19, disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan kecemasan di Zon Merah, Hospital Umum Sarawak di sini pada pukul 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, remaja wanita tersebut bersama seorang lelaki berusia 23 tahun sedang menaiki sebuah motosikal.


Katanya, kedua-dua mereka dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke arah pusat bandaraya Kuching dari arah Jalan Wisma Saberkas di sini.

“Bagaimanapun, malang menimpa mangsa, apabila sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 32 tiba-tiba merempuh motosikal yang dinaiki dari arah belakang.

“Impak rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikal itu dan mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Ahmad memberitahu, teman lelaki mangsa dan pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pihak polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu kereta itu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily