Pembantu dapur maut, motosikal rempuh besi pembahagi jalan

Keadaan mangsa yang maut selepas motosikalnya melanggar besi pembahagi jalan.

SERIAN, Dis 31: Akibat rempuhan kuat merempuh besi pembahagi jalan, seorang lelaki menemui ajal dalam satu kemalangan di Kilometer 45, Jalan Kuching-Serian di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa, Stanislaus Henry, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada kepala dan kakinya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, DSP Bingkok John berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Krusen Kranji, Tebakang di sini dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Kuching ke Serian.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa seorang diri menunggang motosikal jenis Modenas Kriss MR1.

“Bagaimanapun, malang menimpa mangsa apabila motosikal yang ditunggangnya dikatakan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh besi pembahagi jalan di situ.

“Impak pelanggaran itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa bekerja sebagai pembantu dapur.

Katanya, pemeriksaan di lokasi kemalangan mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas itu.

“Cuaca adalah baik ketika kejadian dan jalan di tempat kejadian adalah lurus.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily