Pembangunan semula Bukit Assek bukan gimik pilihanraya, kata Abang Johari

Abang Johari (kiri) meninjau kawasan Taman Tebingan Batu Kawah selesai majlis perasmian.
Advertisement

KUCHING, 8 Nov: Kerajaan akan melaksanakan pembangunan semula kawasan Bukit Assek di Sibu demi manfaat penduduknya, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, ia bukanlah gimik menjelang pilihanraya negeri menyedari ia adalah kawasan pembangkang, tetapi telah pun dirancang sejak dua tahun yang lalu.

“Kita sudah ada Jawatankuasa Pembaharuan Bandar Sibu dan Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah untuk mengkaji bagaimana hendak melaksanakan pembangunan semula di kawasan Bukit Assek.

Advertisement

“Kawasannya ‘water lock’ dan banyak rumah usang selain tidak sesuai untuk kesihatan seperti masalah denggi.

“Maka, kita buat kajian semula di kawasan tersebut seperti pembangunan semula di kawasan bandar,” kata ketika ditemui pada Perasmian Taman Tebingan Batu Kawah di sini hari ini.

Menurut Abang Johari, untuk melaksanakan pembangunan semula di kawasan tersebut memerlukan sokongan daripada rakyat.

Seperti di Darul Hana di Kuching, katanya, ia melibatkan proses memindahkan rumah penduduk yang terjejas.

“Proses pembangunan semula di setiap kawasan melibatkan kerajaan, agensi pelaksana dan rakyat,” ujar Abang Johari.

Projek Taman Tebingan Batu Kawah yang melibatkan lima fasa dengan kos RM8.8 juta dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Ia memiliki pembinaan mercu tanda ikonik dikenali ‘The Sky Window of Batu Kawah’ dengan ketinggian 30 meter atau bersamaan dengan bangunan 10 tingkat.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang. — DayakDaily

Advertisement