“Pembangunan pesat Bintulu hasil penglibatan pelbagai pihak”

Datu Muhammad Yakup Kari

KUCHING, 22 Mac: Pembangunan Bandar Bintulu yang menyaksikannya terus maju kehadapan adalah hasil penglibatan pelbagai pihak, menurut Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Datu Muhammad Yakub Kari.

Beliau berkata, ia adalah hasil sumbangan dan peranan para pelabur, pemaju, peniaga, kakitangan awam dan swasta.

“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa memberi panduan dan bimbingan kepada kami di samping sentiasa memberi hala tuju yang yang jelas untuk BDA terus maju kehadapan.


“Sebagai contoh, Premier telah menasihat supaya BDA diberi hak milik sebahagian daripada tanah untuk diganti sebagai ekuiti di dalam mana–mana pelaburan di Bintulu.

“Ini selaras dengan falsafah “revenue engineering” yang beliau sarankan sebagai dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi BDA 2022 yang dihadiri Abang Johari di Bintulu malam ini.

Tambah Muhammad Yakub, kerjasama serta komitmen yang tinggi pelbagai pihak membolehkan BDA menjalankan fungsi sebagai agensi pembangunan serta pihak berkuasa tempatan di Bahagian Bintulu ini.

Katanya, kerjasama yang baik ini mengukuhkan ekonomi Bintulu selama ini dan menjadikan Bintulu sebuah bandar perindustrian seperti yang dikenali ramai kini. — DayakDaily