Pembangunan bakat transformasi ekonomi Sarawak — Premier Abang Johari

Abang Johari berucap di Majlis Makan Malam Anak Sarawak sempena 60 Tahun Sarawak Merdeka di Kuala Lumpur.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Okt: Pembangunan bakat anak-anak Sarawak perkara penting dalam mentransformasi ekonomi negeri, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Justeru jelas beliau, kerajaan akan terus meningkatkan usaha untuk meningkatkan bakat anak-anak Sarawak dalam pelbagai bidang.


“Kita lihat bahawa anak-anak Sarawak kalau dilatih dengan betul boleh menjadi seorang yang terkemuka di semua bidang,” katanya di Majlis Makan Malam Anak Sarawak sempena 60 Tahun Sarawak Merdeka di Kuala Lumpur malam ini.

Tambah Abang Johari, ia terbukti apabila seorang anak Sarawak baru-baru ini telah merangkul anugerah tertinggi dalam bidang diplomasi di Universiti Oxford.

Selain itu katanya, ramai lagi anak Sarawak telah mencipta nama di peringkat antarabangsa dalam bidang masing-masing.

“Sebab Itulah pembangunan bakat adalah sangat penting bagi kita untuk mentransformasikan ekonomi negeri,” kata Abang Johari.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof. — DayakDaily