Pemandu van maut dalam kemalangan di Jalan Mukah-Selangau

Kelihatan van dipandu mangsa yang terbabas ke dalam parit.

SIBU, 24 Okt: Seorang lelaki maut dalam kemalangan kendiri membabitkan sebuah van di Jalan Mukah-Selangau semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa yang berusia 53 tahun dan berasal dari RPR Sungai Plan, Bintulu.

Katanya, semasa kejadian mangsa memandu sebuah van menuju ke Mukah pada jam 7 malam.


“Ketika tiba di jalan Mukah-Selangau, van yang dipandu mangsa telah terbabas ke dalam parit di hadapan Rumah Kilan.

“Akibat dari itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas klinik kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa telah dihantar ke rumah mayat hospital berdekatan untuk bedah siasatan.

Siasatan lanjut polis masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — DayakDaily