Pemandu van maut, bertembung lori di Gedong

Kelihatan anggota Bomba dan Penyelamat sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit kejadian kemalangan dekat Simpang Gedong, Serian hari ini (3 Feb, 2021).

SERIAN, 3 Feb: Seorang pemandu maut selepas kenderaan yang pandunya bertembung dengan sebuah lori yang sarat dengan muatan tangki gas LPG dekat Jalan Simpang Gedong di sini.

Jurucakap Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, dalam kejadian sekitar jam 8.32 pagi itu, seorang mangsa dilaporkan tersepit dalam kenderaannya yang remuk dalan kejadian itu.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada kenderaan jenis van yang dipandu mangsa yang keluar simpang terus bertembung dengan lori tersebut yang berada di laluan utama jalan Serian-Sri Aman menghala ke arah Sibu.


“Akibat dari pelanggaran tersebut mangsa tersepit di bahagian pemandu van yang dipandu olehnya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Keadaan van yang dipandu mangsa dalam kejadian kemalangan dekat Simpang Gedong, Serian hari ini (3 Feb, 2021).

Katanya, mangsa, 71, disahkan maut akibat kecederaan parah di anggota badannya, oleh pasukan perubatan yang turut berada di lokasi kejadian.

Pemandu lori terbabit yang berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujar jurucakap JBPM, anggota bomba mengambil masa kira-kira sejam bagi mengeluarkan mnagsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba dengan peralatan khas dan mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. ā€” DayakDaily