Pekerja kilang parah tersepit di mesin ‘conveyer’

Kelihatan anggota Bomba dan Penyelamat sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit di mesin 'conveyer'.

BINTULU, 3 Feb: Seorang pekerja kilang di Taman Perindustrian Samalaju, di sini parah selepas tersepit di mesin ‘conveyer’ ketika bertugas dalam kejadian awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 3.45 pagi tadi.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, didapati mangsa, 24, tersepit dalam mesin ‘conveyer’ kilang tersebut dan dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, anggota di lokasi kejadian menggunakan peralatan ‘Hydraulic Telescopic Ram’ bagi merengangkan mesin conveyer tersebut bagi membolehkan usaha mengeluarkan mnagsa yang tersepit dilakukan.

Katanya, mangsa yang berjaya dikeluarkan mengguna pengusung daripada mesin tersebut diserahkan kepada pihak keselamatan kilang untuk dihantar ke Hospital Bintulu.

Punca kejadian itu masih dalam siasatan. — DayakDaily