Pemandu treler temui ajal

Keadaan treler yang dipandu mangsa terbalik selepas kemalangan.

SIBU, April 6: Malang menimpa seorang pemandu treler apabila menemui ajal selepas terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Sibu-Bintulu di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 10 malam itu mengakibatkan mangsa, Tan Ah Chuan, 62, meninggal dunia di lokasi kemalangan selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati treler yang dipandu mangsa terbabas sebelum terbalik di bahu jalan.


Katanya, kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan anggota badannya.

“Sebelum nahas tersebut, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke Sibu dari arah Bintulu.

“Siasatan lanjut mendapati tiada kenderaan lain terbabit dalam nahas itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sibu bagi proses bedah siasat.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily