133 penduduk rumah panjang hilang tempat tinggal

Keadaan kebakaran di Long Peluan, Ulu Baram.

BARAM, April 7: Seramai 133 penduduk rumah panjang di Long Peluan, Ulu Baram di sini hilang tempat tinggal dalam sekelip mata selepas kediaman mereka musnah terbakar malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu telah mengakibatkan 19 daripada 29 buah pintu rumah panjang berkenaan terbakar.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pusat gerakan operasi menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 11.30 malam.


Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi kemudian diarahkan ke lokasi bagi tindakan selanjutnya.

“Difahamkan, perjalanan ke tempat kejadian memakan masa kira-kira 10 jam.

“Pasukan bomba terpaksa menggunakan jalan balak ke rumah panjang berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kelihatan kenderaan yang turut terbakar.

Mengulas lanjut, berdasarkan maklumat awal yang diterima, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Katanya, terdapat dua kenderaan pacuan empat roda dan tiga motosikal turut musnah terbakar dalam kebakaran tersebut.

“Setakat ini, punca kejadian serta jumlah kerugian masih belum diketahui,” ujarnya. — DayakDaily