Pemandu treler cedera dalam kemalangan dua kenderaan

Kelihatan keadaan kemalangan membabitkan dua buah kenderaan.

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, Jun 19: Seorang pemandu treler cedera selepas kenderaan yang dipandu bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kampung Punggu Dadak dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, pemandu yang berusia 27 tahun mengalami kecederaan pada anggota badannya.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung dengan kemalangan itu pada pukul 12.35 tengah hari.

Jelasnya, berdasarkan maklumat diterima, kemalangan tersebut melibatkan sebuah treler yang membawa jentera berat dan sebuah lori jenis tiga tan.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian melaporkan tiada mangsa yang tersepit.

“Mangsa yang cedera telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum kehadiran pihak bomba,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba kemudian membuat pemantauan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada lagi mangsa lain.

“Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Sri Aman untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. — DayakDaily