Pemandu tercampak keluar dari lori temui ajal

Anggota bomba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori yang terbalik.
Advertisement

Oleh Dean Adam

BINTULU, Jan 9: Seorang pemandu lori menemui ajal selepas kenderaan berat yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di KM101, Jalan Bintulu-Miri di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenalpasti sebagai Hailman Jumat, 39.

Advertisement

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 7.45 malam.

Menurutnya, sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pasukan mendapati sebuah lori jenis 10 tan terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu berkenaan tercampak keluar dari kenderaan tersebut dan mengalami kecederaan pada anggota badannya,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Ujarnya, mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 9.10 malam,” jelasnya. — DayakDaily

Ends

Advertisement