Pemandu pikap maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan

Pasukan bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Advertisement

Oleh Dean Adam

MIRI, Ogos 13: Seorang pemandu pikap menemui ajal selepas kenderaan yang dipandu bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di Jalan Miri-Bintulu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenalpasti sebagai Huang Pek Sing.

Advertisement

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.56 pagi.

Jelasnya, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba di tempat kejadian, komander operasi melaporkan pemandu pikap itu dalam keadaan tersepit di tempat duduk pemandu.

“Manakala, pemandu Toyota Hilux dan penumpangnya pula cedera ringan dan berjaya keluar dari kenderaan pacuan empat roda itu,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

“Petugas hospital yang turut berada di lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian mangsa.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. — DayakDaily

Advertisement