Pemandu lori yang dilanggar ambulans ditahan untuk siasatan lanjut

Keadaan di lokasi kemalangan.
Advertisement

Oleh DayakDaily Team

SRI AMAN, 9 Sept: Seorang jururawat dan pemandu ambulans cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 46 Jalan Sri Aman-Sarikei pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mathew Manggie berkata kemalangan melibatkan sebuah ambulans dengan lori iaitu sekitar jam 4.20 pagi.

Advertisement

Katanya, ambulans yang dinaiki kedua-dua mangsa semasa kejadian dalam perjalanan pulang ke Hospital Betong selepas menghantar pesakit ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Siasatan awal mendapati lori tersebut mengalami kerosakan dan dipakirkan di bahu jalan tersebut.

“Difahamkan pemandu lori ada meletak tanda amaran segitiga kira-kira 50 meter dari belakang lori dan ada memasang lampu ‘hazard’ sebelum lori tersebut dilanggar ambulans Hospital Betong di bahagian belakang kanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan dan saksi kejadian dimohon tampil untuk membantu siasatan.

“Pemandu lori juga kini ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik IPD Sri Aman diambil tindakan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, pemandu serta seorang jururawat (wanita) mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke Hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut. — DayakDaily

Advertisement