Oleh Dean Adam
BETONG, Nov 28: Malang menimpa seorang pemandu lori apabila dia ditemui maut dalam satu insiden kebakaran sebuah kenderaan berat di Jalan Tanjung Assam di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.25 petang itu, mangsa, Kho Kei Teck, 49, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.31 petang.
Katanya, sepasukan sembilan anggota bomba diketuai Komander Operasi, Vincent Baling dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.
“Apabila tiba, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah lori 10 tan jenis Nissan tanpa muatan yang terangkat baket belakangnya dan terkena pada kabel elektrik berhampiran.
“Kebakaran yang berlaku melibatkan bahagian hadapan dan tayar belakang lori terbakar kira-kira 30 peratus,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, mangsa yang ditemui terbaring di luar sebelah kanan hadapan lori kemudian dialihkan ke tempat selamat oleh pasukan bomba sebelum kemerebakan api.
Katanya, operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu untuk mengawal dan memadam kebakaran lori tersebut.
“Operasi ditamatkan pada pukul 3.44 petang sebaik mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. ā DayakDaily