Pemandu lori sawit nyaris maut, kenderaan dipandu terbabas sebelum terbalik

Kelihatan sebuah lori dalam keadaan terbalik.
Advertisement

Oleh Dean Adam

BETONG, Feb 25: Seorang pemandu lori nyaris maut selepas kenderaan yang dipandu hilang kawalan lalu terbalik di Jalan Suri, Debak di sini hari ini.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira pukul 2.55 petang itu mengakibatkan mangsa, Radinar Mortan, 34, warga Indonesia cedera ringan sahaja.

Advertisement

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.58 petang.

Jelas beliau, sejurus itu sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bergegas ke tempat kemalangan.

“Sejurus tiba, pasukan bomba mendapati sebuah lori yang membawa muatan kelapa sawit dalam kejadian terbalik di bahu jalan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lori itu berjaya keluar sendiri dari kenderaan tersebut dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pihak bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum membawanya ke Hospital Betong untuk rawatan susulan.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 3.33 petang,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement