Pemandu lori maut selepas terlibat dalam kemalangan kendiri

Kelihatan lori dipandu mangsa yang terlibat dalam kemalangan kendiri.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Jun 29: Seorang pemandu lori maut selepas terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Sibu-Bintulu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.25 petang itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenalpasti sebagai Jeffery Jiek, berusia 42 tahun.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.29 petang.

Katanya, sepasukan anggota bomba terus ke tempat kejadian untuk melakukan operasi susulan.

“Semasa pasukan bomba sampai di lokasi kejadian, saksi memaklumkan pemandu lori tersebut dipercayai mengalami sesak nafas sebelum kenderaan yang dipandu merempuh tiang lampu jalan di situ.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut berada di lokasi,” katanya di sini, hari ini.

Jurucakap sama menambah, operasi seterusnya ialah mengeluarkan mangsa dari dalam lori dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Setelah selesai mendapatkan maklumat dan memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada pukul 4.50 petang,” katanya. — DayakDaily