BINTULU: Seorang pemandu lori terbunuh akibat digilis lorinya sendiri selepas tercampak keluar dari dalam lori dalam satu kemalangan di kawasan Perindustrian Samalaju, di sini semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Bingkok John berkata mangsa dikenali sebagai Lee Ngan Cheang, berusia 57 tahun dan berasal dari Kampung Gudang, Tawau.
Menurutnya juga, kemalangan disyaki berpunca daripada masalah teknikal yang menyebabkan bahagian ‘Kepala’ lori melenting sehingga mengakibatkan mangsa tercampak keluar iaitu sekitar jam 4 petang.
“Kejadian berlaku semasa lori bergerak lurus apabila kepala lori tersebut tiba-tiba melenting ke depan menyebabkan pemandu lori(mangsa) tercampak dari cermin hadapan lalu digilis oleh lori itu sendiri,” kata Bingkok.
Tambahnya, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Kes tersebut masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.