This Content Is Only For Subscribers
LUNDU, 21 Jun: Seorang pemandu lori disahkan meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Simpang Kelaoh, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.10 tengah hari.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah lori dan van.
“Seorang mangsa lelaki tersepit dalam lori dan pihak Bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat.
“Bagaimanapun mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa di dalam van hanya mengalami cedera ringan dan telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Seterusnya Bomba bertindak membersihkan sisa-sisa kemalangan dan bertolak balik ke balai selepas memastikan keadaan selamat dan terkawal.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily